
Perubahan Kepimpinan Perlu Diikuti Pembaharuan Dalam Kerajaan dan PartiPosted on Monday, April 14 @ 10:41:59 MYT Topic: KOMENTAR
(from MyKMU)
Assalamualaikum dan salam sejahtera,Apa khabar pelawat dan sahabat blogers di tanah air. Saya baru selesai melakukan muhasabah panjang di Hijir Ismail, Kaabah. Perkara yang saya fikirkan adalah nasib masa depan negara dalam menghadapi kemelut kepimpinan, tindakan Tun Mahathir dan silent protest dalam UMNO.Berdasarkan perbincangan saya dengan Tun Mahathir, beliau akan terus meluahkan perasaan bimbangnya terhadap masa depan UMNO dan BN jika ia terus dipimpin oleh Pak Lah.
Dalam pertemuan saya dengan beliau juga, Tun telah hilang keyakinan terhadap kewibawaan Pak Lah. Sebagai bekas Perdana Menteri yang melantik Pak Lah, Tun berpendapat adalah tanggungjawab dan kewajipan beliau untuk kembali membetulkan kepimpinan UMNO hari ini. Bagi pemimpin UMNO, seperti saya dan rakan Ketua Bahagian, yang telah dilatih untuk hormat pemimpin, untuk meminta Pak Lah meletak jawatan secara terbuka adalah perbuatan terakhir yang terpaksa dilakukan. Selalunya kami tunjukkan secara kiasan atau tidak langsung dengan harapan hasrat itu difahami. Adalah tidak benar untuk mengatakan pemimpin UMNO tidak faham dengan mood orang ramai, lebih-lebih lagi berdasarkan isyarat jelas keputusan Pilihan Raya Umum ke 12.
Ini terbukti bila ramai pemimpin UMNO telah mula bersuara secara terbuka mahu pun hadir dalam program Tun Dr. Mahathir.Saya amat bimbang dengan situasi ini. Memikirkan keadaan masa depan agama dan negara mengatasi segalanya, saya memohon petunjuk Allah dan melakukan muhasabah diri di hadapan Kaabah .
Sebagai pemimpin kerdil, secara peribadi saya berpendapat, Perubahan KepimpinanPertamanya, YAB Datuk Seri Abdullah mesti berani menerima kenyataan dan membuat rancangan keluar (exit plan) atau persaraan yang melibatkan peralihan kepimpinan parti dan negara kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.UMNO masih menghormati Pak Lah. Namun rakyat dan ahli UMNO ada pandangan sendiri yang telah diterjemahkan dalam pilihan raya serta perjumpaan-perjumpaan bersama akar umbi UMNO.Justeru cara terbaik ialah Pak Lah dan Datuk Seri Najib dapat mengemukakan satu rancangan peralihan kuasa yang licin dan dalam suasana mesra.
Peralihan ini boleh dilakukan dalam waktu terdekat atau jangka masa yang lebih panjang. Namun ia tidak seharus terlalu lama yang boleh menjejaskan pentadbiran negara mahu pun persiapan parti menjelang pilihan raya umum akan datang.Jika ini dapat dilakukan secara tertib, saya percaya rakyat akan kembali menghormati Pak Lah sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.Pembaharuan Dalam KerajaanKeduanya, peralihan ini perlu diikuti oleh tindakan kerajaan untuk melakukan pembaharuan (reforms) dalam struktur pentadbiran bagi tujuan mengurangkan birokrasi.
Usaha juga perlu dilakukan untuk meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang perniagaan dalam bidang perkhidmatan mellaui usaha memperbanyakan program outsourcing dalam jabatan.Program penswastaan juga perlu dinilai semula bagi mencari satu kaedah baru yang lebih baik agar ia menjadi satu bentuk kerjasama pintar (smart partnership) antara swasta dan kerajaan.Polisi ekonomi juga perlu dinilai semula. Semangat Dasar Ekonomi Baru perlu diterapkan dalam bentuk baru. Ini kerana dasar atau polisi hari ini sudah tidak diyakini oleh sebahagian orang Melayu.
Manakala bukan Melayu pula merasa terpinggir waima kuasa ekonomi masih dalam tangan mereka.Sudah tiba masanya dikumpulkan kumpulan cerdik pandai dan intelektual kita bagi merumus satu formula dan pendekatan yang lebih menyeluruh.
Insyallah ini akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan.Selain pentadbiran dan ekonomi, isu Pendidikan juga memerlukan satu pembaharuan. Saya fikir sudah tiba masanya kita melihat semula peranan sekolah vernakular, termasuk sekolah agama rakyat. Ini kerana semua sekolah ini telah lama wujud dan turut menyumbang kepada pembangunan negara.
Kerajaan perlu mengambil tindakan pro aktif dalam hal ini kerana rakyat sedang memerhati tindakan kita.Faktor keempat yang perlu dilihat ialah hubungan agama Islam dengan agama lain perlu dilihat dengan lebih objektif. Kebebasan beragama yang dibenarkan dalam Perlembagaan perlu diterjemahkan dengan lebih jelas supaya ia tidak merugikan orang Islam. Kerajaan perlu mengambil penyelesaian tegas dalam hal ini. Sempadan yang jelas perlu digaris supaya semua penganut pelbagai agama di Malaysia memahami apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dan faham jika ada tindakan yang terpaksa diambil pada masa akan datang.Perubahan Dalam PartiSelain kerajaan, UMNO juga perlu melakukan pembaharuan.
Pemusatan kuasa Presiden dan sistem kuota perlu dilihat semula. Ahli perlu diberi kebebasan dalam memilih pemimpin tanpa sekatan kuota atau dengan jumlah kuota yang minima.Pemimpin UMNO perlu berani menghadapi cabaran dalam parti jika mahu dihormati oleh rakyat.Bagi mengelakan kekangan dan halangan, keahlian UMNO dan pembayaran yuran juga perlu dilakukan secara terus atau melalui internet (online).Selain itu pemimpin UMNO perlu adakan kumpulan pemikir yang meliputi semua peringkat, yang memahami masalah dan mencari penyelesaian. Dengar dan analisa pandangan akar umbi dari pemotong rumput sehinggalah ke CEO syarikat gergasi.Keputusan hendaklah dibuat berlandaskan fakta dan untung rugi kepada orang Melayu untuk jangka panjang mahu pun pendek.
Banyak lagi pembaharuan mesti diambil oleh UMNO mengikut keperluan semasa. UMNO tiada pilihan lain kecuali berani berubah mengikut kehendak orang Melayu dan rakyat Malaysia.Sahabat-sahabat semua,Pada 2003 saya turut berada di sini, di Hijir Ismail inilah, saya berdoa kepada Allah s.w.t. Ketika yang sama di dalam negara berlakunya satu peristiwa penting – Istiadat peralihan pucuk pimpinan negara dari Tun Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Abdullah.
Saya dicemuh oleh beberapa pihak ketika itu kerana tidak hadir di Istana Negara untuk menyaksikan detik bersejarah tersebut.Namun keyakinan saya pada janji Rasulullah bahawa barang siapa yang berdoa dengan ikhlas di Hijir Ismail ini, doanya akan dimakbulkan Allah s.w.t.Saya memilih berada di sini dari Istana kerana cintakan negara dan pemimpin, Hari ini saya di sini lagi dengan keyakinan yang sama memohon doa, bermunajat kepada Allah, moga Allah selamatkan negara kita dari pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
Saya tidak merelakan negara ini dipimpin oleh orang yang tidak bermaruah, yang sanggup bersengkokol dengan musuh hanya untuk berkuasa.Saya masih terus di sini bermunanjat, semoga apa yang saya perkatakan ini membawa kebaikan kepada semua rakyat Malaysia. Saya tidak jemu mahu pun putus asa untuk melakukannya kerana keyakinan saya pada janji Rasulullah s.a.w tidak pernah padam sampai akhir hayat.
www.drkhir.com


No comments:
Post a Comment